JOM kita lihat kelebihan emas fizikal khususnya dinar dan gold bar berbanding wang kertas:
1. ASET PENYIMPAN NILAI
Emas adalah aset penyimpan nilai yang telah terbukti stabil untuk jangka panjang. Ini kerana emas tidak mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti inflasi dan ketidakstabilan ekonomi atau politik yang sering mempengaruhi nilai aset lain. Emas juga sering dilihat sebagai “wang sebenar” kerana ia tidak tertakluk kepada risiko penurunan nilai mata wang kertas. Oleh itu, menyimpan emas membantu melindungi nilai kekayaan seseorang daripada kemungkinan kehilangan kuasa beli untuk jangka panjang.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, wang satu dinar boleh digunakan untuk membeli seekor kambing. Walaupun kambing ada pelbagai jenis dan saiz, pada hari ini satu dinar secara umumnya masih mampu digunakan untuk membeli seekor kambing. Ini membuktikan bahawa emas sebagai matawang mampu mengekalkan kuasa belinya selepas 1400 tahun!
2. ASET FIZIKAL MAMPU MILIK
Disebalik fakta bahawa emas adalah aset yang berharga, ianya juga adalah aset fizikal yang mampu milik. Dengan kemudahan akaun emas yang ada pada hari ini, emas boleh disimpan sedikit demi sedikit dalam kuantiti gram yang kecil mengikut bajet dan keselesaan masing-masing. Tabiat menabung dalam bentuk emas ini memastikan nilai aset simpanan kita lebih stabil berbanding menyimpan duit kertas yang biasanya lebih mudah bocor. Tabungan dalam bentuk emas juga seakan ‘magnet kekayaan’ yang memberikan motivasi kepada kita untuk terus menambah gram emas secara konsisten. Apabila kita memiliki emas, akan ada perasaan sayang untuk menjual simpanan emas kita. Ini akan memastikan jumlah gram emas kekal (tidak mudah bocor) dan berganda dengan cepat hasil tabungan yang konsisten, seterusnya memastikan kekayaan kekal di tangan kita.
3. KEPELBAGAIAN PORTFOLIO
Walaupun kita mempunyai pelbagai aset seperti hartanah, saham, crypto, simpanan tunai dan sebagainya, pakar kewangan mencadangkan agar kita menyimpan minimum 10% daripada nilai kekayaan kita dalam bentuk simpanan emas. Dalam situasi ketidakstabilan ekonomi, nilai aset lain mungkin menurun, namun nilai emas mungkin bertahan atau meningkat. Oleh itu, dengan memasukkan emas ke dalam portofolio simpanan, kita dapat mengimbangi dan mengurangkan risiko melalui diversifikasi serta memastikan kestabilan aset secara keseluruhan.
4. MUDAH DIBAWA DAN DITERIMA DI SELURUH DUNIA
Emas adalah aset fizikal mudah alih. Anda boleh bawa emas ke mana sahaja dan boleh jual untuk dapatkan wang tunai dengan mudah, atau ditukar dengan barang lain dalam keadaan darurat. Sewaktu era perang Vietnam (1955-1975) dulu, ramai rakyat Vietnam yang menjual harta mereka dan menukarkan kepada kepingan-kepingan emas (yang dikenali sebagai Vietnam Kim-Thant) sebelum melarikan diri ke negara lain. Dengan aset emas ini lah yang telah membantu mereka memulakan hidup di negara yang baru.
5. LOGAM BERHARGA YANG UNIK
Berbanding wang kertas, emas adalah duit dalam bentuk logam berharga (precious metal). Emas telah digunakan sebagai matawang sejak ribuan tahun yang lalu ketika zaman tamadun purba seperti Empayar Byzantine, Empayar Rom, Empayar Uthmaniyah dan tamadun Islam. Ukuran nilai tukaran wang dalam emas telah menstabilkan sistem kewangan dunia dalam sejarah manusia sehinggalah ia digantikan oleh wang kertas.
Pada hari ini, emas adalah aset yang diterima di mana sahaja tempat di seluruh dunia. Selagi ianya adalah emas tulen, kita tidak perlu risau jika ingin menjualnya semula. Nilai emas berdiri dengan sendirinya tanpa perlu jaminan daripada mana-mana pihak.
Emas fizikal walaupun telah rosak atau patah tetap bernilai kerana nilai emas terletak pada berat dan ketulenannya. Ini berbeza dengan wang kertas yang akan hilang nilainya sekiranya rosak atau koyak. Emas juga tidak boleh dicipta dan dimanipulasi seperti wang kertas yang boleh dicetak sesuka hati. Malah emas tidak boleh dimusnahkan, walaupun dibakar ianya kekal sebagai ketulan emas, tidak reput dan sentiasa cantik.
Selain disimpan dalam bentuk gold bar dan dinar, emas juga boleh dibentuk menjadi barang kemas dan perhiasan diri untuk wanita. Rupa bentuk semulajadi emas yang cantik dan berseri ini telah menjadi idaman setiap wanita sejak dahulu lagi.
6. BOLEH DIJADIKAN MODAL PUSINGAN
Bila perlukan duit untuk modal pusingan perniagaan, anda boleh dapatkan wang tunai dengan memajak emas fizikal di mana-mana Ar-Rahnu. Bila dah selesai urusniaga, tebus balik emas fizikal tadi. Kadar pinjaman yang diberikan biasanya sekitar 70% dari nilai semasa emas dengan caj upah simpan yang berpatutan. Ini membolehkan anda mendapatkan wang tunai tanpa perlu menjual emas. Dengan cara ini, anda masih ada emas fizikal di tangan dan mungkin keuntungan perniagaan (selepas mendapat suntikan modal hasil pajakan). Pastikan anda pajak mengikut keperluan sahaja.
Anda belajar sesuatu yang baru hari ni? Sila share artikel ni kepada rakan-rakan yang lain, sharing is caring
Jom sertai group Telegram Info Emas, klik butang di bawah 👇🏻